Kasihan Tuah,keris Taming Sarinya patah
takutlah dia mahu bertingkah di gelanggang terbuka
kelak sumbang langkahnya memakan diri
telah lupa dia petua Petala Guru
"Buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali"
sedangkan Jebat sentiasa gah dengan dirinya
“Raja adil raja disembah,raja zalim raja disanggah”.
Kasihan Tuah,keris Taming Sarinya patah
kecutlah perutnya mahu bertarung di padang rata
walau gelaran laksamana masih terpahat di dadanya
dan seluruh hulubalang dikerah meradok lembing ke dada Jebat
tapi Jebat telah semakin kebal di lantai hatinya
dan tingkah tarinya tidak lagi tersasar
sumpah keramatnya telah menjadi ikutan berjuta umat
“entah-entah juak hulubalangku juga akan berpaling tadah
bila tikaman Jebat tak dapat ku tepis dan tempiasnya melata ke seluruh pelusuk negeri”
kesian Tuah;Tuah tak lagi bertuah
kesian Tuah;Tuah sedang merasuah.
Kasihan Tuah,keris Taming Sarinya patah
hatinya ikut patah,sering muntah-muntah
walau tempiknya tetap gah dan nampak bijaksana macam laksamana
tapi hanya di reban sendiri cuma;dipenuhi ayam betina
terpaksalah kita berputih mata
kerana Tuah bukan lagi Tuah yang sanggup berputih tulang demi Negara
walau sentiasa dihambat sumpah keramat si Jebat
“Berani kerana benar,takut kerana salah”.
Yajuk
Bukit jering
27 feb 2012